RSS

Thursday, November 12, 2009

Kisah Cinta Adam dan Hawa

Syurga yang serba nikmat

...Segala kesenangan ada di dalamnya. Semua tersedia apa saja yang diinginkan, tanpa bersusah payah memperolehinya. Sungguh suatu tempat yang amat indah dan permai, menjadi idaman setiap insan. Demikianlah menurut riwayat, tatkala Allah SWT. selesai mencipta alam semesta dan makhluk-makhluk lainnya, maka dicipta-Nya pula Adam ‘alaihissalam sebagai manusia pertama. Hamba yang dimuliakan itu ditempatkan Allah SWT di dalam Syurga (Jannah).

Adam a.s hidup sendirian dan sebatang kara, tanpa mempunyai seorang kawan pun. Ia berjalan ke kiri dan ke kanan, menghadap ke langit-langit yang tinggi, ke bumi terhampar jauh di seberang, maka tiadalah sesuatu yang dilihatnya dari mahkluk sejenisnya kecuali burung-burung yang berterbangan ke sana ke mari, sambil berkejar-kejaran di angkasa bebas, bernyanyi-nyanyi, bersiul-siul, seolah-olah mempamerkan kemesraan.

Adam a.s terpikat melihatnya, rindu berkeadaan demikian. Tetapi sungguh malang, siapalah gerangan kawan yang hendak diajak. Ia merasa kesepian, lama sudah. Ia tinggal di syurga bagai orang kebingungan, tiada pasangan yang akan dibujuk bermesra sebagaimana burung-burung yang dilihatnya.

Tiada pekerjaan sehari-hari kecuali bermalas-malas begitu saja, bersantai berangin-angin di dalam taman syurga yang indah permai, yang ditumbuhi oleh bermacam bunga-bunga kuntum semerbak yang wangi, yang di bawahnya mengalir anak-anak sungai bercabang-cabang, yang desiran airnya bagai mengandung pembangkit rindu.


Adam kesepian


Apa saja di dalam syurga semuanya nikmat! Tetapi apalah erti segalanya kalau hati selalu gelisah resah di dalam kesepian seorang diri?

Itulah satu-satunya kekurangan yang dirasakan Adam a.s di dalam syurga. Ia perlu kepada sesuatu, iaitu kepada kawan sejenis yang akan mendampinginya di dalam kesenangan yang tak terhingga itu. Kadangkala kalau rindu dendamnya datang, turunlah ia ke bawah pohon-pohon rendang mencari hiburan, mendengarkan burung-burung bernyanyi bersahut-sahutan, tetapi aduh hai kasihan...bukannya hati menjadi tenteram, malah menjadi lebih tertikam. Kalau angin bertiup sepoi-sepoi basah di mana daun-daunan bergerak lemah gemalai dan mendesirkan suara sayup-sayup, maka terkesanlah di hatinya keharuan yang begitu mendalam; dirasakannya sebagai derita batin yang tegak di sebalik nikmat yang dianugerahkan Tuhan kepadanya.

Tetapi walaupun demikian, agaknya Adam a.s malu mengadukan halnya kepada Allah SWT. Namun, walaupun Adam a.s malu untuk mengadu, Allah Ta'ala sendiri Maha Tahu serta Maha Melihat apa yang tersembunyi di kalbu hamba-Nya. Oleh itu Allah Ta'ala ingin mengusir rasa kesepian Adam.


Hawa diciptakan


Tatkala Adam a.s sudah berada di puncak kerinduan dan keinginan untuk mendapatkan kawan, sedang ia lagi duduk terpekur di atas tempat duduk yang berlapiskan tilam permaidani serba mewah, maka tiba-tiba ngantukpun datanglah menawannya serta langsung membawanya hanyut ke alam tidur.

Adam a.s tertidur nyenyak, tak sedar kepada sesuatu yang ada di sekitarnya. Dalam saat-saat yang demikian itulah Allah SWT menyampaikan wahyu kepada malaikat Jibril a.s untuk mencabut tulang rusuk Adam a.s dari lambung sebelah kiri. Bagai orang yang sedang terbius, Adam a.s tidak merasakan apa-apa ketika tulang rusuknya dicabut oleh malaikat Jibril a.s.

Dan oleh kudrat kuasa Ilahi yang manakala menghendaki terjadinya sesuatu cukup berkata “Kun!” maka terciptalah Hawa dari tulang rusuk Adam a.s, sebagai insan kedua penghuni syurga dan sebagai pelengkap kurnia yang dianugerahkan kepada Adam a.s yang mendambakan seorang kawan tempat ia boleh bermesra dan bersenda gurau.


Pertemuan Adam dan Hawa


Hawa duduk bersandar pada bantal lembut di atas tempat duduk megah yang bertatahkan emas dan permata-permata bermutu manikam, sambil terpesona memperhatikan kecerahan wajah dari seorang lelaki kacak yang sedang terbaring, tak jauh di depannya.

Butir-butir fikiran yang menggelombang di dalam sanubari Hawa seolah-olah merupakan arus-arus tenaga elektrik yang datang mengetuk kalbu Adam a.s, yang langsung menerimanya sebagai mimpi yang berkesan di dalam gambaran jiwanya seketika itu.

Adam terjaga....! Alangkah terkejutnya ia ketika dilihatnya ada makhluk manusia seperti dirinya hanya beberapa langkah di hadapannya. Ia seolah tak percaya pada penglihatannya. Ia masih terbaring mengusap matanya beberapa kali untuk memastikan apa yang sedang dilihatnya.

Hawa yang diciptakan lengkap dengan perasaan malu, segera memutar badannya sekadar untuk menyembunyikan bukit-bukit di dadanya, seraya mengirimkan senyum manis bercampur manja, diiringi pandangan melirik dari sudut mata yang memberikan sinar harapan bagi hati yang melihatnya.

Memang dijadikan Hawa dengan bentuk dan paras rupa yang sempurna. Ia dihiasi dengan kecantikan, kemanisan, keindahan, kejelitaan, kehalusan, kelemah-lembutan, kasih-sayang, kesucian, keibuan dan segala sifat-sifat keperibadian yang terpuji di samping bentuk tubuhnya yang mempesona serta memikat hati setiap yang memandangnya.

Ia adalah wanita tercantik yang menghiasai syurga, yang kecantikannya itu akan diwariskan turun temurun di hari kemudian, dan daripadanyalah maka ada kecantikan yang diwariskan kepada wanita-wanita yang datang dibelakangnya.

Adam a.s pun tak kurang gagah dan kacaknya. Tidak dijumpai cacat pada dirinya kerana ia adalah satu-satunya makhluk insan yang dicipta oleh Allah SWT secara langsung tanpa perantaraan.

Semua kecantikan yang diperuntukkan bagi lelaki terhimpun padanya. Kecantikan itu pulalah yang diwariskan turun temurun kepada orang-orang di belakangnya sebagai anugerah Allah SWT kepada makhluk-Nya yang bergelar manusia. Bahkan diriwayatkan bahawa kelak semua penduduk syurga akan dibangkitkan dengan pantulan dari cahaya rupa Adam a.s.

Adam a.s bangkit dari pembaringannya, memperbaiki duduknya. Ia membuka matanya, memperhatikan dengan pandangan tajam. Ia sedar bahawa orang asing di depannya itu bukanlah bayangan selintas pandang, namun benar-benar suatu kenyataan dari wujud insani yang mempunyai bentuk fizikal seperti dirinya. Ia yakin ia tidak salah pandang. Ia tahu itu manusia seperti dirinya, yang hanya berbeza kelaminnya saja. Ia serta merta dapat membuat kesimpulan bahawa makhluk di depannya adalah perempuan. Ia sedar bahawa itulah dia jenis yang dirindukannya. Hatinya gembira, bersyukur, bertahmid memuji Zat Maha Pencipta.

Ia tertawa kepada gadis jelita itu, yang menyambutnya tersipu-sipu seraya menundukkan kepalanya dengan pandangan tak langsung, pandangan yang menyingkap apa yang terselit di kalbunya.


Adam terpikat

Adam terpikat pada rupa Hawa yang jelita, yang bagaikan kejelitaan segala puteri-puteri yang bermastautin di atas langit atau bidadari-bidadari di dalam syurga.

Tuhan menanam asmara murni dan hasrat berahi di hati Adam a.s serta menjadikannya orang yang paling asyik dilamun cinta, yang tiada taranya dalam sejarah, iaitu kisah cinta dua insan di dalam syurga. Adam a.s ditakdirkan jatuh cinta kepada puteri yang paling cantik dari segala yang cantik, yang paling jelita dari segala yang jelita, dan yang paling harum dari segala yang harum.

Adam a.s dibisikkan oleh hatinya agar merayu Hawa. Ia berseru: “Aduh, hai si jelita, siapakah gerangan kekasih ini? Dari manakah datangmu, dan untuk siapakah engkau disini?” Suaranya sopan, lembut, dan penuh kasih sayang.
“Aku Hawa,” sambutnya ramah. “Aku dari Pencipta!” suaranya tertegun seketika. “Aku....aku....aku, dijadikan untukmu!” tekanan suaranya menyakinkan.

Tiada suara yang seindah dan semerdu itu walaupun berbagai suara merdu dan indah terdengar setiap saat di dalam syurga. Tetapi suara Hawa....tidak pernah di dengarnya suara sebegitu indah yang keluar dari bibir mungil si wanita jelita itu. Suaranya membangkit rindu, gerakan tubuhnya menimbulkan semangat.

Kata-kata yang paling segar didengar Adam a.s ialah tatkala Hawa mengucapkan terputus-putus: “Aku....aku....aku, dijadikan untukmu!” Kata-kata itu nikmat, menambah kemesraan Adam kepada Hawa.

Adam a.s sedar bahawa nikmat itu datang dari Tuhan dan cintapun datang dari Tuhan. Ia tahu bahawa Allah SWT itu cantik, suka kepada kecantikan. Jadi, kalau cinta kepada kecantikan berertilah pula cinta kepada Tuhan. Jadi cinta itu bukan dosa tetapi malah suatu pengabdian. Dengan mengenali cinta, makrifah kepada Tuhan semakin mendalam. Cinta kepada Hawa bererti cinta kepada Pencipta. Dengan keyakinan demikian Adam a.s menjemput Hawa dengan berkata: “Kekasihku, ke marilah engkau!” Suaranya halus, penuh kemesraan.

“Aku malu!” balas Hawa seolah-olah menolak. Tangannya, kepalanya, memberi isyarat menolak seraya memandang Adam dengan penuh ketakjuban.

“Kalau engkau yang inginkan aku, engkaulah yang ke sini!” Suaranya yang bagaikan irama seolah-olah memberi harapan.

Adam tidak ragu-ragu. Ia mengayuh langkah gagah mendatangi Hawa. Maka sejak itulah teradat sudah bahawa wanita itu didatangi, bukan mendatangi.

Hawa bangkit dari tempat duduknya, menggeser surut beberapa langkah. Ia sedar bahawa walaupun dirinya diperuntukkan bagi Adam a.s, namunlah haruslah mempunyai syarat-syarat tertentu. Di dalam sanubarinya, ia tak dapat menyangkal bahawa iapun terpesona dan tertarik kepada rupa Adam a.s yang sungguh indah.

Adam a.s tidak putus asa. Ia tahu itu bukan dosa. Ia tahu membaca isi hati. Ia tahu bukannya Hawa menolak, tetapi menghindarnya itu memanglah suatu perbuatan wajar dari sikap malu seorang gadis yang berbudi. Ia tahu bahawa di balik “malu” terselit “rasa mahu”. Kerananya ia yakin pada dirinya bahawa Hawa diperuntukkan baginya. Naluri insaninya bergelora.

Tatkala sudah dekat ia pada Hawa serta hendak mengulurkan tangan sucinya kepadanya, maka tiba-tiba terdengarlah panggilan ghaib berseru:
“Hai Adam....tahanlah dirimu. Pergaulanmu dengan Hawa tidak halal kecuali dengan mahar dan menikah!”.

Adam a.s tertegun, balik ke tempatnya dengan taat. Hawa pun mendengar teguran itu dan hatinya tenteram.
Kedua-dua manusia syurga itu sama terdiam seolah-olah menunggu perintah.


Perkahwinan Adam dan Hawa

Allah SWT. Yang Maha Pengasih untuk menyempurnakan nikmatnya lahir dan batin kepada kedua hamba-Nya yang saling memerlukan itu, segera memerintahkan gadis-gadis bidadari penghuni syurga untuk menghiasi dan menghibur mempelai perempuan itu serta membawakan kepadanya hantaran-hantaran berupa perhiasan-perhiasan syurga. Sementara itu diperintahkan pula kepada malaikat langit untuk berkumpul bersama-sama di bawah pohon “Syajarah Thuba”, menjadi saksi atas pernikahan Adam dan Hawa.

Diriwayatkan bahawa pada akad pernikahan itu Allah SWT. berfirman: “Segala puji adalah kepunyaan-Ku, segala kebesaran adalah pakaian-Ku, segala kemegahan adalah hiasan-Ku dan segala makhluk adalah hamba-Ku dan di bawah kekuasaan-Ku. Menjadi saksilah kamu hai para malaikat dan para penghuni langit dan syurga bahawa Aku menikahkan Hawa dengan Adam, kedua ciptaan-Ku dengan mahar, dan hendaklah keduanya bertahlil dan bertahmid kepada-Ku!”.

Malaikat dan para bidadari berdatangan

Setelah akad nikah selesai berdatanganlah para malaikat dan para bidadari menyebarkan mutiara-mutiara yaqut dan intan-intan permata kemilau kepada kedua pengantin agung tersebut. Selesai upacara akad, dihantarlah Adam a.s mendapatkan isterinya di istana megah yang akan mereka diami.

Hawa menuntut haknya. Hak yang disyariatkan Tuhan sejak semula.
“Mana mahar?” tanyanya. Ia menolak persentuhan sebelum mahar pemberian ditunaikan dahulu.

Adam a.s bingung seketika. Lalu sedar bahawa untuk menerima haruslah sedia memberi. Ia insaf bahawa yang demikian itu haruslah menjadi kaedah pertama dalam pergaulan hidup.

Sekarang ia sudah mempunyai kawan. Antara sesama kawan harus ada saling memberi dan saling menerima. Pemberian pertama pada pernikahan untuk menerima kehalalan ialah mahar. Oleh kerananya Adam a.s menyedari bahawa tuntutan Hawa untuk menerima mahar adalah benar.


Mahar perkahwinan Adam

Pergaulan hidup adalah persahabatan! Dan pergaulan antara lelaki dengan wanita akan berubah menjadi perkahwinan apabila disertai dengan mahar. Dan kini apakah bentuk mahar yang harus diberikan?
Itulah yang sedang difikirkan Adam.

Untuk keluar dari keraguan, Adam a.s berseru: “Ilahi, Rabbi! Apakah gerangan yang akan kuberikan kepadanya? Emaskah, intankah, perak atau permata?”.

“Bukan!” kata Tuhan.

“Apakah hamba akan berpuasa atau solat atau bertasbih untuk-Mu sebagai maharnya?” tanya Adam a.s dengan penuh pengharapan.

“Bukan!” tegas suara Ghaib.

Adam diam, mententeramkan jiwanya. Kemudian bermohon dengan tekun: “Kalau begitu tunjukilah hamba-Mu jalan keluar!”.

Allah SWT. berfirman: “Mahar Hawa ialah selawat sepuluh kali atas Nabi-Ku, Nabi yang bakal Kubangkit yang membawa pernyataan dari sifat-sifat-Ku: Muhammad, cincin permata dari para anbiya’ dan penutup serta penghulu segala Rasul. Ucapkanlah sepuluh kali!”.
Adam a.s merasa lega. Ia mengucapkan sepuluh kali salawat ke atas Nabi Muhammad SAW. sebagai mahar kepada isterinya. Suatu mahar yang bernilai spiritual, kerana Nabi Muhammad SAW adalah rahmatan lil ‘alamin (rahmat bagi seluruh alam).

Hawa mendengarkannya dan menerimanya sebagai mahar.
“Hai Adam, kini Aku halalkan Hawa bagimu”, perintah Allah, “dan dapatlah ia sebagai isterimu!”.
Adam a.s bersyukur lalu memasuki isterinya dengan ucapan salam. Hawa menyambutnya dengan segala keterbukaan dan cinta kasih yang seimbang.

Allah SWT. berfirman kepada mereka: “Hai Adam, diamlah engkau bersama isterimu di dalam syurga dan makanlah (serta nikmatilah) apa saja yang kamu berdua ingini, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini kerana (apabila mendekatinya) kamu berdua akan menjadi zalim”.

(Al-A’raaf: 19).
Dengan pernikahan ini Adam a.s tidak lagi merasa kesepian di dalam syurga. Inilah percintaan dan pernikahan yang pertama dalam sejarah ummat manusia, dan berlangsung di dalam syurga yang penuh kenikmatan. Iaitu sebuah pernikahan agung yang dihadiri oleh para bidadari, jin dan disaksikan oleh para malaikat.
Peristiwa pernikahan Adam dan Hawa terjadi pada hari Jumaat. Entah berapa lama keduanya berdiam di syurga, hanya Allah SWT yang tahu. Lalu keduanya diperintahkan turun ke bumi. Turun ke bumi untuk menyebar luaskan keturunan yang akan mengabdi kepada Allah SWT dengan janji bahawa syurga itu tetap tersedia di hari kemudian bagi hamba-hamba yang beriman dan beramal soleh.

Firman Allah SWT.: “Kami berfirman: Turunlah kamu dari syurga itu. Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”

Kepiluan Hati Seorang Gadis

Rithah Al- Hamqa
....Di antara rumah-rumah penduduk Makkah, terdapat sebuah rumah di kawasan Bani Makhzum. Salah seorang penghuninya adalah seorang gadis. Ia dilahirkan dan membesar di Makkah. Gadis itu bernama Rithah Al-Hamqa.

Setelah usianya mencecah remaja, hatinya mula terbuka untuk menjalani kehidupan seperti lazimnya para wanita, iaitu mempunyai suami dan anak-anak. Dia sering melamun dan mengkhayalkan perkahwinan. Ia tidak ingin menjadi anak dara tua.

“Ah, betapa bahagianya... Orang akan beramai-ramai menghantarkan aku menuju rumah calon suamiku...,” begitulah yang kerap terlintas dalam lamunannya.

Dengan tidak sabar Rithah menanti hari yang dibayangkannya penuh keindahan dan kenikmatan itu. Di saat fikirannya penuh dengan segala khayalan dan lamunan, ayahnya yang bernama Umar membangkitkan harapan yang hampir hilang dari hatinya.

Kata ayahnya:
“Rithah, puteriku... aku akan mengunjungi berhala-berhala kita. Akan kuberikan dirham yang banyak kepada pengawalnya, dan akan kulumuri kedua kakinya dengan darah kambing yang gemuk, agar dia menjadi senang kepadamu, kemudian mengirimkan dua orang pemuda yang terhormat kepada kita untuk meminangmu.”

Kata-kata itu membangkitkan harapan baru dalam hati Rithah. Hari demi hari pun berlalu.

Selama itu pula Rithah selalu berdiri di depan cermin memandang dirinya sambil terus bertanya-tanya:
“Mengapakah sampai hari ini tidak seorang pun datang meminangku? Mengapa? Padahal, ayahku, mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia di tengah kaumnya, Bani Makhzum. Sedang aku sendiri... inilah wajahku, di sebalik kaca... Mengapa para pemuda tidak tergerak untuk mengahwiniku? Apakah aku kurang cantik?”
Soalan-solan itu selalu menghantui fikirannya. Hanya air mata yang mengalir dari kedua matanya, yang meringankan kesedihan dan beban yang dirasakannya.

Di saat bulan purnama

Tiba-tiba terdengar suara langkah yang berjalan mendekati biliknya. Dia segera mengusap air matanya. Orang yang datang itu ternyata ibunya sendiri. Selama ini pertemuannya dengan sang ibu sering kali justeru menambah kesedihan dan duka dalam hatinya. Ibunya mendekati Rithah. Dia menghulurkan tangan memeluk leher puterinya kemudian mendakapkannya ke atas pangkuan seraya berkata:
“ Tenanglah engkau, hai puteriku... seorang ahli nujum dari Thaif telah memberitahukan kepadaku bahawa kamu akan dibawa ke rumah pengantin pada saat bulan purnama.”

Rithah tersenyum. Di wajahnya terlukis harapan dan kegembiraan sekaligus, dan dia bertanya, “Benarkah apa yang ibu katakan itu?”

Ibunya menjawab, “Demi Tuhan, aku tidak memberitahukan kepadamu melainkan yang sebenarnya.”

Rithah menarik nafas, kemudian berkata, “Tetapi ibu tidak pergi bersamaku ke Thaif agar aku dapat bertemu dengan ahli nujum itu. Jangan-jangan ibu hanya bermaksud membangkitkan harapan dalam hatiku...”

Sambil mengusap wajah puterinya, sang ibu menjawab dengan meyakinkan agar puterinya merasa tenang dan percaya, “Aku telah menemuinya kelmarin di biaranya. Beberapa orang telah memikulnya untuk melakukan tawaf di Kaabah. Ketika selesai, dia merasa sangat haus, lalu pergi ke sumur zamzam untuk minum.

Ketika itulah aku cepat-cepat menyelipkan sekerat emas ke tangannya. Kutanyakan kepadanya tentang perkahwinanmu. Setelah mendongak ke langit dan mengamati bulan, dengan suaranya yang lemah ahli nujum itu berkata, “Perkahwinan akan terjadi di saat bulan purnama seperti ini!”

Belum selesai si ibu bercerita, wajah Rithah sudah berseri-seri penuh kebahagiaan. “Tuhan telah rela kepadaku. Tuhan akan mengirimkan orang yang akan mengahwiniku,” katanya dalam hati. Rithah berputar-putar dalam biliknya, menari penuh kegembiraan, sementara ibunya hairan melihat perbuatan puterinya itu. Tak lama, Rithah berhenti kemudian berkata, “Terima kasih, Tuhan, terima kasih...”

Tetapi, tepat disaat Rithah selesai mengucapkan terima kasihnya kepada Tuhan, dia mendengar ayahnya berkata, “Apakah yang terjadi, Rithah?”

Melihat itu ibunya cepat-cepat menuju ke pintu bilik dan berkata, “Rithah akan diiringkan ke rumah suaminya beberapa hari lagi!”

Kedua mata Umar merah dan kemarahan nampak jelas di wajahnya. Baginya, ucapan isterinya itu justeru merupakan serangan yang menyakitkan.

“Bagaimana mungkin Rithah akan diiringkan beberapa hari lagi tanpa dipinang dulu dariku?” katanya dengan nada keras.

Isterinya menjawab, “Tak apa-apa, wahai Umar!”

Mendengar jawapan itu, tiba-tiba Umar menampar isterinya hingga jatuh ke lantai. Melihat ibunya terjatuh, Rithah merasa seperti disambar petir yang menggelegar. Dia mendekati ibunya sambil menjerit, “Ibu, ibu...”

Masih dalam keadaan duduk sambil menahan rasa sakit, sang isteri berkata kepada suaminya, ”Apa yang engkau anggap salah itu, pada pendapatku, benar.”

Mendengar itu, semakin bertambahlah kemarahan Umar. Dia berkata, “Aku mengerti apa yang kamu katakan kepadanya. Kamu bermaksud membeli seorang suami untuk puteriku tanpa bermesyuarat denganku!”

Ucapan ayahnya itu menghunjam hati Rithah. Dia merasa seakan-akan hatinya ditusuk dengan sebuah pisau yang tajam. Hatinya resah, seolah-olah kehidupan telah tercabut dari dirinya. Di pihak lain, mendengar ucapan suaminya, dan melihat diri puterinya yang cemas, sang ibu menjadi bertambah bingung, tapi kemudian dia berkata, ”Suamiku, sesungguhnya apa yang aku katakan kepadamu sesuai dengan apa yang dikatakan kepadaku oleh seorang ahli nujum dari Thaif.”

Umar menarik nafasnya dalam-dalam dan berjalan ke arah puterinya yang tertekan perasaan sedih. Dia memeluk puterinya, dan berkata, “Tidak! Aku tidak percaya hal itu akan terjadi. Tidak, tidak!”

“Percayalah, hai anakku, ahli nujum Thaif itu tidak berdusta dan tidak mungkin salah!” ujar ibunya.

Demikianlah kedua orang tua itu bersahut-sahutan, hingga sedikit demi sedikit jiwanya yang sedang goncang dan bingung itu beransur tenang kembali.


Mengintip dari balik pintu


Matahari terbit, kemudian tenggelam. Rithah memasang kedua telinganya sepanjang hari. Dia memerhatikan setiap langkah yang mendekati rumahnya. Fikirnya, jangan-jangan itu langkah calon suaminya yang telah dijanjikan ahli nujum dari Thaif itu. Hari-hari berlalu, dan terasa begitu lama bagi Rithah. Dia merasa seakan-akan lehernya diikat dengan tali yang sangat kuat.

Malam pun tiba. Rithah naik ke atas rumah untuk memandang sudut Kaabah dan melihat orang yang sedang mengelilingi bangunan hitam itu. Mereka yang mengelilingi Kaabah itu terdiri dari lelaki dan perempuan. Mereka bergerak tiada hentinya.

Musim haji telah dekat, dan tamu-tamu datang ke Makkah dari setiap penjuru, sehingga jumlahnya menjadi sangat ramai. Orang-orang itu membawa hadiah-hadiah yang akan dipersembahkan kepada berhala-berhala yang di sekeliling Kaabah. Juga hadiah untuk penjaganya.

Melihat semua itu, timbullah pertanyaan dalam hati Rithah, “Apakah yang dikatakan oleh ahli nujum itu akan jadi kenyataan? Bukankah takdir dapat menarik salah seorang diantara para pemuda ke rumahku untuk meminang diriku?”

Rithah mendongakkan wajahnya ke langit. Bulan telah berubah mendekati kesempurnaannya. Beberapa malam lagi bulan akan sempurna menjadi purnama. Apakah harapan akan menjadi kenyataan? Apakah benar dia akan diiringkan beberapa hari lagi? Pertanyaan-pertanyaan itu selalu datang dan tidak diperolehinya jawapan selain keraguan dan kegelisahan.

Kini, bulan purnama telah sempurna, tetapi tidak sebuah “bintang” pun datang meminangnya. Tanpa diketahuinya, sang ibu mendekatinya. Saat itu Rithah sedang menenggelamkan wajahnya ke atas pangkuannya sendiri kerana sedih. Kemudian Rithah mengangkat kepalanya dengan berat untuk mendengar ibunya berkata, ”Ahli nujum Thaif itu tidak berdusta, anakku.”

Rithah balik bertanya, ”Bila tidak berdusta, mengapa tidak datang juga orang yang akan mengahwiniku? Tidak ada orang yang seumurku ini belum kahwin!”

Sambil memegang kepala puterinya, sang ibu berkata, “Nanti kamu akan kahwin juga, anakku, ketika bulan purnama telah sempurna.”

Mendengar itu Rithah berteriak, “Bulan purnama telah sempurna, ibu!”

Ibunya menjawab,”Perkahwinanmu tidak harus terlaksana pada bulan ini, boleh terjadi pada bulan mendatang atau bulan yang seterusnya lagi.”

Rithah segera berkata, “Aku tidak percaya! Aku tidak percaya!” Dan dia mengulang-ulangi perkataan itu. Ketika telah habis suaranya kerana berteriak, barulah dia merasakan ketenangan yang mendalam, seperti ketenangan orang yang telah mati.

Selama berlangsungnya “drama” kesedihan Rithah itu, sang ayah dengan setia mengintip dari balik pintu. Hatinya sedih melihat penderitaan anak dan isterinya. Dia tidak sampai hati melihat apa yang menimpa diri puterinya itu.



Dipinang pemuda kacak


Matahari terbit, kemudian tenggelam. Siang dan malam berlalu, sedang Rithah tidak juga berubah. Satu-satunya perubahan, ayahnya kini telah tiada, meninggal dunia setelah menderita sakit beberapa hari, dan ayahnya meninggalkan harta warisan yang banyak untuk dia dan ibunya. Akan tetapi, apakah ertinya harta jika keinginannya untuk bersuami tidak terlaksana? Hari demi hari berlalu, dia tetap merasa sedih dan wajahnya selalu nampak gelisah.

Ahli nujum dari Thaif itu telah berdusta, begitu juga ahli nujum lain yang dia datangi bersama ibunya yang selalu menyelipkan wang ke tangan mereka, kemudian mereka memberitahukan dengan kata-kata yang manis dan menyampaikan harapan-harapan kosong, fikir Rithah.

Rithah bertanya kepada dirinya sendiri, “Berapakah usiaku sekarang? Empat puluh tahun? Tidak! Bahkan lebih dua tahun! Tidak! Sebenarnya kurang dari itu...,” begitulah hatinya bergejolak.

Selama ini, ibunya selalu berusaha meringankan beban penderitaannya, dan bersamaan dengan pertanyaan-pertanyaan yang menusuk hatinya itu, seolah-olah pisau yang tajam, ibunya berkata, ”Betapa banyak wanita yang lebih tua darimu, akhirnya kahwin juga, Rithah.”

Suatu pagi, ketika matahari telah menyinari pergunungan dan bukit bakau di Makkah, pintu rumah Rithah diketuk orang. Ibunya, yang usianya sudah lebih dari tujuh puluh tahun, segera bangun untuk membukakan pintu. Betapa terkejutnya dia, kerana yang datang adalah saudara perempuannya sendiri. Telah lama tidak pernah dilihatnya, kerana saudaranya ini tinggal di perkampungan Bani Tamim. Dan di sebelah saudara perempuannya itu, dia melihat seorang pemuda yang usianya mendekati dua puluh tahun. Ibu Rithah segera memeluk saudara perempuannya. Saudara perempuannya menyuruh puteranya masuk sambil berkata kepada ibu Rithah, “Ini anakku, Sukhr.”

Mendengar nama Sukhr, Rithah segera bangkit, dan hilanglah rasa malas dari dirinya. Dia tak sabar ingin mengetahui, siapakah Sukhr, yang datang ke rumahnya itu.

“Ini adalah Sukhr, putera ibu saudaramu, Rithah.”

Melihat semua itu, mulalah muncul berbagai pertanyaan di hati Rithah: Mungkinkah pemuda kacak yang jauh lebih muda dari dia itu datang untuk meminangnya? Apakah semua yang dikatakan oleh ahli nujum dari Thaif dan ahli-ahli nujum yang lain itu akan menjadi kenyataan? Namun, lamunan Rithah segera hilang ketika dia mendengar suara Sukhr berkata, “Selamat saudaraku.”

Rithah menjawab terbata-bata, ”Selamat datang untukmu.”

Perempuan itu bersama puteranya tinggal di rumah Rithah hanya sebentar. Mereka datang untuk meminang Rithah. Dan menurut rancangan, perkahwinan akan dilaksanakan sebulan lagi.

Meskipun demikian, hati Rithah masih saja selalu bertanya-tanya. Mengapa sebelum ini tidak datang seorang pun untuk mengahwininya? Kini, ibu saudaranya, yang sebelum ini tak pernah dilihatnya, datang bersama puteranya yang kacak dan mengatakan akan menetap ke Makkah bersama Rithah setelah perkahwinannya nanti.

Di perjalanan pulang menuju perumahan Bani Tamim, ibu Sukhr sentiasa berbicara untuk meneguhkan tekad anaknya agar melangsungkan perkahwinan dengan Rithah. Dia berkata, ”Memang Rithah tidak cantik, tetapi hartanya banyak.”

“Apakah yang mengharuskan aku mengahwininya, ibu?”

“Hartanya yang banyak akan membuat kamu menjadi kaya raya. Kamu dapat menjadi seorang saudagar besar. Setelah itu, dengan kekayaanmu, engkau boleh kahwin lagi dengan wanita lain. Kamu bebas melakukan apa saja kehendakmu. Tetapi yang penting, jangan engkau biarkan kekayaan Rithah itu terlepas dari tanganmu!” jawab ibunya dengan penuh semangat.

Waktu terus berjalan. Ibu Rithah meninggal dunia sebelum melihat putera saudaranya itu melangsungkan perkahwinannya dengan Rithah. Kini Rithah hidup seorang diri di rumahnya dengan penuh kesedihan. Hatinya bertanya-tanya, apakah putera ibu saudaranya akan datang mengahwininya sesuai dengan janjinya dahulu. Ataukah itu hanya tipu muslihat belaka?

Tetapi, tidak lama setelah itu, datanglah perempuan itu bersama puteranya, Sukhr, untuk melangsungkan perkahwinannya dengan Rithah. Mereka sebenarnya berbahagia atas kematian ibu Rithah, kerana mereka merasa akan lebih mudah untuk menguasai harta Rithah.

Hari demi hari berganti, tetapi Rithah tak kunjung merasakan kebahagiaan hidup bersuami, padahal dia telah menjadi seorang isteri. Tidak ada orang lain yang tinggal di rumah itu selain dia dan suaminya, Sukhr. Mereka tinggal berdua.

Rithah pergi menemui berhala-berhala di Kaabah untuk mempersembahkan korbannya, kerana harapannya telah jadi kenyataan. Sepulangnya dari Kaabah, dilihatnya wajah Sukhr, suaminya nampak bersedih. Rithah menghampirinya dan berkata, ”Apa yang membuatmu sedih, Sukhr?”

Sukhr menjawab, “Tidak ada apa-apa, tidak ada apa-apa...”

Tetapi Rithah makin mendekat, dan dengan penuh kasih sayang dia berkata, ”Tidak mungkin! Tentu ada sesuatu yang kamu sembunyikan. Seminggu sejak perkahwinan kita hingga hari ini, belum pernah kulihat wajahmu bersedih seperti sekarang.”

“Aku merasa bosan!” jawab Sukhr.

Ucapan Sukhr dirasakan Rithah laksana petir yang menyambar.

“Begitu cepatnya, Sukhr, kamu merasa bosan kepadaku?” Kata Rithah tanpa sedar.

Tetapi Sukhr dengan tenang menjawab, “Bagaimana aku akan memiliki sesuatu, sedang kamu adalah isteriku dan anak saudara ibuku?”

Rithah berkata kepadanya, “Kalau begitu, kamu harus mengatakan, apakah yang menyusahkanmu?”

Sukhr berkata, “Aku ingin pergi ke Syam untuk berdagang agar kita mendapat keuntungan yang banyak.”

“Apakah yang mendorongmu untuk itu, padahal ayahku meninggalkan untuk kita berdua harta yang begini banyak?” Tanya Rithah.

“Aku tak mahu menjadi beban bagi seseorang,” Jawab Sukhr.

“Tetapi kamu tidak menjadi beban bagiku, kerana kamu adalah suamiku. Hartaku adalah hartamu juga..,” Kata Rithah.

Tetapi Sukhr berkata, “Kalau begitu, berilah aku wang untuk mempersiapkan kafilah ke Syam.”

Rithah memandangi suaminya. Dengan nada sedih, lalu dia berkata, “Kamu akan meninggalkan aku, Sukhr?”

“Aku akan meninggalkanmu sebulan atau dua bulan, kemudian kembali ke sisimu untuk selama-lamanya,” Jawab Sukhr.

“Bila berangkat?” Tanya Rithah.

“Beberapa hari lagi,” Jawab Sukhr.



Menangis siang dan malam

Sudah cukup lama Sukhr berangkat, tapi tak kunjung pulang. Sebulan, dua bulan bahkan tiga bulan berlalu. Rithah kemudian mencari Sukhr. Dia bertanya kepada setiap penduduk Makkah yang datang dari Syam, dan mereka menjawab,”Sukhr tidak pergi dengan kafilah mana pun.”

Rithah mula merasa khuatir: apakah yang telah menimpa Sukhr? Matikah dia atau terbunuh? “Tidak!... Tidak!” demikian Rithah berteriak untuk menjauhkan perasaan yang bukan-bukan dari dirinya. Setelah berfikir sejenak, dia memutuskan akan pergi ke perkampungan Bani Tamim untuk mencari maklumat tentang suaminya yang telah lama menghilang.

Namun, betapa kecewanya hati Rithah ketika berjumpa dengan Sukhr yang dengan tergagap-gagap menyatakan kepadanya bahawa wangnya telah dicuri orang.

Rithah bertanya, “Mengapa kamu tidak kembali untuk memberitahukan hal itu kepadaku?”

Sukhr menjawab,”Untuk apa aku harus memberitahukannya kepadamu, sedang kamu tak mungkin lagi menjadi isteriku. Lagi pula, bagaimana jiwa mudaku dapat tumbuh subur dengan wanita tua seumpama kamu...!” Lalu Sukhr pergi meninggalkan Rithah seorang diri.

Saat itu Rithah merasa seakan bumi telah menggoncangkannya dan menjadi kiamat. Segala sesuatu menjadi gelap dalam pandangan kedua matanya. Akan tetapi dia tetap mencari Sukhr. Dia terus bertanya tentang Sukhr kepada kaumnya. Dia mendapatkan jawapan bahawa Sukhr kini diasingkan oleh teman-temannya dan diusir, kerana telah melakukan sesuatu yang tidak disenangi. Meski demikian, Rithah masih bertanya,”Di mana dia sekarang?” Seseorang memberitahunya bahawa Sukhr kini hidup bersama orang-orang miskin yang diasingkan kaumnya kerana kejahatan yang telah mereka lakukan.

Rithah kemudian kembali ke Makkah dengan membawa kesedihan. Ketika sampai di rumahnya, dia menutup pintu kemudian menangis. Dia terus menangis siang dan malam memerah air matanya sendiri. Sejak itu dia tak mahu makan dan minum.

Namun, tiba-tiba tangannya meraih sepotong roti yang sudah kering. Rupa-rupanya, keinginannya untuk hidup masih lebih kuat daripada keinginannya untuk mati. Tetapi, kenikmatan hidup apakah yang dirasakannya? Sebatang kara, dan sedih kerana harapannya yang musnah ...

Suatu hari, tangannya meraih alat pemintal yang biasa digunakan oleh ibunya untuk memintal sutera. Dengan jari-jarinya dia mula memutar alat itu. Dia memintal sepotong bulu domba dan setelah selesai menyusunnya kembali. Kemudian memintalnya lagi dan begitu terus-menerus. Tiga kali, empat kali dan... tanpa disedarinya malam telah menjadi larut.

Rithah berdiri, berjalan dengan malas menuju lampu minyak dan kemudian menyalakannya. Kedua matanya terpaku memandang bulu domba yang telah dipintalnya sambil bertanya-tanya dalam hati, ”Untuk siapakah dia memintal? Apakah dia kekurangan harta, padahal Sukhr telah banyak mencuri hartanya tetapi hartanya masih banyak juga. Apakah dia menenunnya untuk membuat pakaian? Untuk siapa pakaian itu? Untuk dirinya, agar dia dapat berhias diri? Tetapi untuk siapa dia berdandan? Untuk suaminya? Bukankah suaminya telah menipu? Untuk anaknya? Bukankah dia tak mempunyai anak? Kalau begitu, untuk siapa?”

Pertanyaan-pertanyaan itu seolah-olah petir yang memekakkan kedua telinganya. Tanpa disedari, dia menjulurkan kedua tangannya meraih benang-benang yang telah dipintalnya sepanjang hari itu, kemudian menceraikannya kembali satu persatu... Kemudian dia tidur di atas permaidani.

Pagi harinya, dia kembali berkeinginan untuk memintal. Dia meraih alat pemintal dan mula memintal. Jika telah selesai, dia memandang hasil pintalannya seperti orang gila. Dia diam sejenak, kemudian dia mengangkat kepalanya, bangun dan keluar dari rumah dengan membawa sekantung wang untuk membeli benang sebanyak-banyaknya. Tetapi, apakah gunanya memintal benang sebanyak itu?

Dia juga menemui gadis-gadis untuk disuruhnya memintal, dan mereka diberi upah masing-masing satu dirham. Setiap pagi gadis-gadis itu datang ke rumah Rithah, sementara Rithah duduk di tengah-tengah mereka, kemudian memintal bersama-sama.

Apabila telah selesai, sebelum matahari terbenam, Rithah membayar upah mereka. Sesudah gadis-gadis itu pulang, mulalah dia meraih hasil tenunan tadi, kemudian menceraikannya kembali dalam kegelapan. Rithah merasa bahawa dunia telah menghancurkan segala harapan dan keinginannya.

Itulah akhir kisah Rithah.

Nabi Palsu Memurtadkan Ummah

.Sesungguhnya Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib Al-Quraisyi telah dinyatakan oleh Allah sebagai Nabi dan Rasul terakhir, Allah sekali-kali tidak mengangkat Nabi lagi sesudahnya. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah di dalam Al-Quran yang ertinya: “Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari salah seorang lelaki di antara kamu, tapi dia adalah Rasul Allah dan penutup para Nabi. Dan Maha Mengetahui atas segala sesuatu.”
(Al-Ahzab, ayat 40) Akan tetapi sejarah mencatatkan ramai individu yang mengaku sebagai Nabi sejak Nabi Muhammad masih hidup, sehingga ke abad dua puluh ini. Bermacam-macam dalil yang mereka kemukakan untuk memperkuat dakwaannya, tapi orang-orang berakal menolak dengan tegas dan menganggapnya sebagai perkara yang melucukan. Semua Nabi-Nabi yang diangkat Allah dapat dilihat sejarahnya bahawa mereka tidak ada maksud apa-apa selain hanya menjalankan perintah Allah.

Sedang para pendakwa Nabi atau Nabi-Nabi palsu itu masing-masing mempunyai kepentingan individu tersendiri, sama ada ditaja oleh pihak lain atau atas daya usahanya sendiri. Sebahagian besar mereka yang mengaku menjadi Nabi itu dikenakan berbagai hukuman, ada yang digantung sampai mati, dibakar, dirotan dan ada pula yang dipulihkan dari penyakit jiwanya.

Sejarah pun mencatat nama-nama individu yang pernah mengaku menjadi Nabi dari zaman ke zaman, di antaranya ialah Musailamatul Kazzab, Aswad Al-Insi, Tulaihah Al-Asadi, Sajjah binti Al-Harith, Ahmad bin Husain, Laqit, Mirza Ghulam Ahmad, Mirza Ali Muhammad, Bahaullah, Al-Mukhtar bin Ubaidillah, Ibnu Sam’an, Amir bin Harb, Abu Mansur Al-Ijli, Ibnu Said As-Sajli, Abu Khattab Al-Asadi, Ibnu Bahram Al-Juba’i, Hasan bin Hamdan, Abul Qasim An-Najar, Al-Muni’ul Qashar, Ibnu Kharba Al-Kindi, Abu Muslim As-Siraj dan lain-lain. Turut mengaku sebagai Nabi juga adalah:

Harith bin Saad; dia mendakwa menjadi Nabi di masa Khalifah Abdul Malik bin Marwan dari Daulat Bani Umaiyah. Ramai orang yang dapat dipengaruhi dan menjadi pengikut-nya. Tapi kesudahannya dia dibunuh bersama pengikut-pengikutnya.

Isa Al-Asfahan; dia mendakwa dirinya diangkat menjadi Nabi di masa Khalifah Al-Mansur dari Daulat Bani Abbasiah . Akhirnya dia dihukum bunuh.

Faris bin Yahya, dia mendakwa dirinya menjadi Nabi di masa pemerintahan Khalifah Al-Muktaz di Mesir. Faris mengaku sebagai Nabi Isa dan mendakwa dapat menyembuhkan penyakit sopak, orang buta, penyakit kusta dan menghidupkan orang mati.

Ishak Al-Akhras, dia mengaku sebagai Nabi di Asfahan (Iran). Dia pandai membaca kitab Taurat, Injil dan pandai mentafsirkan Al-Quran sesuka hatinya. Di antara ajarannya ialah barangsiapa yang beriman kepada Allah, beriman kepada Nabi Muhammad dan beriman kepadanya, dialah orang-orang yang mendapat kemenangan. Kerana kepandaiannya bertutur kata, ramai orang yang dapat dipengaruhinya dan menjadi pengikutnya. Ishak pada akhirnya dapat dihukum bunuh.

Aswad Al-Insi
Namanya sebenar adalah Ailat bin Kaab bin Auff Al-Insi keturunan bangsa hitam Habasyah yang tinggal di Jazirah Arabia. Oleh kerana itulah dia dipanggil Aswad yang bermakna Si Hitam Pekat, dan terkenallah namanya sebagai Aswad Al-Insi. Dia mengaku dirinya sebagai nabi pada saat-saat menjelang Rasulullah SAW jatuh sakit dan segera mendapat pengikut yang ramai di kalangan kaumnya. Akan tetapi nabi palsu ini dapat dibunuh pada tahun 11 H/632M iaitu di saat-saat menjelang kewafatan Rasulullah SAW.



Si Hitam Yang Bercadar


Aswad Al-Insi sentiasa menutup mukanya dengan cadar (purdah) seperti yang biasa dipakai oleh kaum wanita sehingga dia dipanggil juga dengan nama Zul Khimar yang bermakna orang yang memakai cadar. Dia sendiri rela dirinya diberi gelar Si Hitam atau Aswad. Sebelum mengisytiharkan dirinya sebagai nabi, Aswad Al-Insi memang terkenal sebagai seorang yang mempunyai ilmu-ilmu hitam dan sihir (black magic) yang mampu memperlihatkan hal-hal yang aneh, ajaib dan menakutkan. Kerana kebolehannya itu, dia ditakuti dan dikagumi di kalangan kaumnya dan pengaruhnya besar. Ditambah lagi dia sebagai seorang orator yang tutur katanya manis dan menarik. Orang-orang awam dari suku besar Mazhaj segera mempercayainya bahawa dia sebagai nabi.

Ajaran utama Aswad adalah membebaskan manusia dari kewajipan solat dan membayar zakat serta membenarkan perzinaan. Kewajipan solat dan zakat inilah yang dirasakan berat oleh sesetengah kabilah Arab selama ini. Apabila mendengar ajaran yang dibawa oleh “nabi” baru itu sangat sesuai dengan nafsunya, mereka berpusu-pusu datang menyatakan sokongan dan sedia mati membela Aswad Al-Insi. Mereka bersedia bergadai nyawa jika Aswad mengarahkannya menyerang Madinatul Munawwarah tempat Nabi Muhammad menyampaikan ajarannya.

Setelah memperolehi pengikut yang ramai, Aswad maju menyerang kota Najran yang ketika itu dibawah pengawasan penguasa Islam Amru bin Hazmi dan Khalid bin Saad.

Aswad berhasil menduduki kota itu dan wilayah sekitarnya, sementara kedua-dua penguasa Islam di situ terpaksa berundur ke kota San’a. Maka berlangsunglah keluar agama (murtad) secara besar-besaran di kawasan-kawasan yang dikuasai oleh Aswad.

Dalam masa yang singkat, pengikut Aswad telah bertambah besar dan dia bertambah sombong dan bermaharajalela. Kekuatan tenteranya semakin besar kerana para pengikutnya rela berperang bersamanya. Langkah seterusnya dia membentuk 700 pasukan berkuda yang dipimpin oleh Kais bin Abdi Yaguts Al-Muradi sebagai panglima perang besarnya. Sedang zon-zon pasukannya dipimpin Maawiyah bin Kais Al-Janabi, Yazid bin Maharram, Yazid bin Hushain Al-Harithi dan Yazid bin Afkal Al-Yazidi.

Pasukan berkuda Aswad bergerak menyerang kota San’a yang ketika itu diperintah oleh penguasa Islam bernama Emir Syahr bin Bazan yang dikukuhkan oleh Rasulullah SAW sendiri. Syahr bin Bazan keluar dengan pasukannya menyambut kedatangan pasukan Aswad. Maka terjadilah pertempuran sengit di antara kedua-dua pasukan itu yang berakhir dengan kekalahan di pihak Syahr bin Bazan yang menemui syahid di dalam pertempuran bersama sejumlah besar tentera Islam lainnya.

Aswad menduduki San’a dengan sombong dan mengambil janda Syahr bin Bazan yang bernama Azaz yang sangat terkenal cantik jelita itu menjadi salah seorang isterinya secara paksa. Walaubagaimanapun Azaz tetap menjadi seorang muslimah yang solehah, taat kepada Allah dan Rasul-Nya sekalipun jasmaninya berada dalam genggaman Aswad secara paksa. Aswad juga telah mengangkat Fairuz Ad-Dailami bersama Emir Dazwih untuk mengetuai seluruh kaum peranakan (al-Abnak).


Merancang Pembunuhan


Dengan kejayaan Aswad menakluki San‘a, umat Islam di seluruh wilayah Hadramaut menjadi cemas dan khuatir kalau-kalau nabi palsu itu mengarahkan pasukannya menyerbu wilayah Hadramaut pula. Mereka berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi segala kemungkinan. Rasulullah SAW di Madinah telah mengetahui perkara yang terjadi.

Baginda telah menghantar Wabar bin Yuhannis Al-Asadi sebagai utusan ke Yaman untuk memberikan arahan agar kaum Muslimin di sana tetap bertenang dan menyusun kekuatan semula untuk menghadapi Aswad. Muaz bin Jabal yang ketika itu sedang bertugas di Yaman, telah berkeliling menghubungi orang-orang yang masih kuat imannya.

Kedatangan utusan dan khabar dari Rasulullah itu telah membuat kaum Muslimin terhibur dan semangatnya naik semula untuk menghadapi Aswad.

Sementara Aswad sendiri semakin sombong akan kejayaannya. Dia merasa kejayaan yang dicapainya dalam waktu singkat itu adalah berkat kekuatannya sendiri dengan menggerakkan ilmu-ilmu hitamnya. Sehingga dia sering mencemuh Qais bin Abdi Yaguts panglima perang yang telah berjasa dalam memimpin tenteranya.

Tidak ketinggalan Fairuz Ad-Dailimi dan Emir Dazwah juga sering dicemuh dan dihina oleh Aswad di hadapan orang ramai. Akibatnya, sama ada panglima Qais, penguasa Fairuz dan Dazwah menjadi benci terhadap Aswad.

Lebih-lebih lagi perempuan janda Syahr yang dijadikan isteri secara paksa oleh Aswad sangat dendam dan membenci nabi palsu itu. Tapi mereka tidak berani berbuat apa-apa kerana Aswad sangat terkenal, ramai pengawalnya dan sering menggunakan khidmat syaitan-syaitan / jin-jinnya untuk mencelakakan seseorang.

Muaz bin Jabal melihat situasi ini sangat menguntungkan untuk mengambil kesempatan. Secara senyap-senyap dia melakukan pendekatan kepada Fairuz Ad-Dailimi dan Dazwah sambil memperlihatkan surat Rasulullah SAW. Kedua-dua Emir itu sangat gembira, bagaikan kejatuhan emas dari langit ketika menerima khabar dari Rasulullah SAW. Mereka pun melakukan pendekatan pula terhadap panglima perang Qais bin Abdi Yaguts dan berhasil. Kini ketiga-tiga orang penting Aswad itu telah sepakat untuk memusnahkan tuan besarnya yang bongkak.

Walau bagaimanapun, mereka bertiga mesti melaksanakan maksudnya dengan terancang dan tipu helah. Sebab disekitar Aswad sangat ramai tentera, pengampu dan pengawal yang menjaganya setiap masa. Apabila mereka yang menyimpan dendam itu telah sebulat suara untuk membunuh Aswad, syaitan-syaitan nabi palsu itu dapat mengesannya lalu memberitahukan kepada Aswad.

Syaitan-syaitan itu memberitahukan kepada Aswad bahawa ada komplot yang ingin membunuhnya yang dianggotai oleh panglima perang dan orang-orang penting lainnya. Aswad segera memanggil Qais dan memberitahukan wahyu yang dibisikkan oleh syaitan itu.

“Wahai Qais! Aku menerima wahyu yang tidak sedap tentang kamu.” kata Aswad.

“Apa katanya?” tanya Qais.

“Engkau memuliakan Qais, menaruh kepercayaan dan bermurah hati kepadanya. Awas, kelak bila dia sudah sangat akrab dengan kau dan mempunyai kedudukan yang kuat seperti engkau, dia akan menjadi lawanmu, merampas kekuasaanmu dan melakukan pengkhianatan. Wahai Aswad! Kasihan engkau.” kata Aswad memberitahukan bisikan syaitannya.

Qais pura-pura menafikan perkara itu sambil berkata dan berkata palsu: “Wahai Zul Khimar! Itu semua bohong. Tuanku sungguh agung dan mulia di sisiku, sehingga tidak pernah terlintas dihatiku ada cita-cita seperti yang tuanku khuatirkan itu.”

“Engkau sungguh biadab wahai Qais! Engkau telah menganggap seorang raja berbohong. Raja bercakap benar, dan sekarang aku tahu bahawa engkau mesti menyesal atas semua yang pernah engkau lakukan.” kata Aswad dengan marah sambil melihat Qais dari kepala hingga ke kakinya.

Qais dibebaskan dan segera keluar menjumpai teman-teman sehaluannya untuk membincangkan apa yang telah terjadi.
“Kalau begitu, mulai sekarang kena berwaspada.” kata mereka.

Tiba-tiba mereka punya idea untuk mendekati Azaz yang menjadi isteri paksa Aswad dan sangat membencinya. Kebetulan pula perempuan cantik jelita itu masih saudara sepupu kepada Fairuz.

Mula-mula Qais menjumpai Azaz secara senyap-senyap dan mencuri-curi, sebab kalau diketahui Aswad, padahnya sangat besar.

“Wahai sepupuku! Engkau telah tahu musibah yang menimpa kaummu gara-gara kekejaman lelaki itu (Aswad). Dia telah membunuh suamimu, memalukan kamu dan memaksa perempuan menjadi miliknya. Adakah engkau tidak dapat bertindak sesuatu keatasnya?” tanya Qais kepada Azaz.

“Bertindak bagaimana?” tanya Azaz.

“Menghalaunya keluar.”

“Bagaimana kalau dia dibunuh saja?” tanya Azaz.

“Dibunuhpun boleh.” kata Qais.

“Memang, demi Allah. Allah tidak menciptakan seseorangpun yang paling aku benci selain si Aswad itu. Jika kamu sudah berazam untuk membunuhnya, beritahu aku. Aku akan memberimu tunjuk ajar tentang perkara ini.” kata Azaz.

Kisah Nabi Dawud as

Salasilah ..

...Diriwayatkan bahawa nama Dawud disebutkan 16 kali dalam Al-Quran, iaitu dalam surah Al-Baqarah, An-Nisaa’, Al-Maa’idah, Al-An’aam, Al-Israa’, Al-Anbiyaa’, An-Naml, Sabaa’ dan Shaad. Dawud termasuk nabi-nabi Bani Israil, keturunan Yahudza bin Nabi Yaakub. Allah telah menghimpunkan baginya kenabian dan kerajaan serta mengurniakan kebaikan dunia dan akhirat, maka beliau adalah nabi dan raja sebagaimana juga puteranya Sulaiman a.s.

Dawud bin Isya bin ‘Uwaid, termasuk keturunan Yahudza bin Nabi Yaakub bin Ishaq bin Ibrahim a.s. Ahli Taurat dan ahli Injil menyebutkan nasabnya dengan terperinci dalam kitab-kitab mereka. Mereka semua sepakat bahawa Dawud a.s. adalah keturunan Yahudza bin Yaakub yang dinamakan Israil a.s. Beliau termasuk salah seorang rasul yang diberi kitab samawi sesudah Musa a.s., di mana Allah menurunkan Zabur kepada beliau, sebagaimana firman Allah:
“Dan Kami berikan Zabur kepada Dawud”.

(Al-Israa’: 55)

Thalut Menjadi Raja


Sesudah wafatnya Nabi Musa dan Harun, Bani Israil diperintah oleh seorang nabi di antara nabi-nabi mereka yang bernama Yusya’ bin Nun a.s. Beliau memasuki Palestin, sebagaimana mereka telah dijanjikan melalui lisan Musa dalam Taurat, lalu beliau mengagih-agihkan tanah kepada mereka, dan memerintah mereka sampai wafatnya. Setelah Yusya’ bin Nun wafat, pemerintahan dipegang oleh para hakim di antara mereka yang berlangsung selama 356 tahun, dan pemerintahan pada masa itu dinamakan “Pemerintahan Hakim”.

Pada selang waktu itu, Bani Israil perlahan-lahan mengalami kehancuran dan kelemahan. Berbagai macam kemaksiatan dan kemungkaran bermaharajalela di mana-mana, syariat disia-siakan, penyembahan behala kembali mempengaruhi mereka, di mana mereka diserang oleh bangsa Amaliqah, Armenia, Palestin dan yang lain-lain di mana dalam setiap kali serangan mereka lebih banyak kalah di dalam menghadapi musuh.

Kemudian urusan Bani Israil menjadi kacau, penyelewengan dan kesalahan semakin besar, bahkan sampai-sampai mereka berani membunuh para nabi. Sebagai ganti para nabi itu, Allah memberikan kekuasaan kepada raja-raja yang bengis yang sentiasa menganiaya mereka, menumpahkan darah-darah mereka dan memenangkan musuh-musuh mereka.

Apabila mereka memerangi musuh mereka, lalu mereka membawa Tabut mitsaq (kotak perjanjian), yang orang-orang ahli kitab menamakannya dengan Tabut ‘ahd (kotak perjanjian), yang di dalamnya terdapat kepingan-kepingan dan tongkat Musa a.s. Inilah yang diisyaratkan dalam Al-Quran:
“Dan nabi mereka mengatakan kepada mereka: “Sesungguhnya tanda ia akan menjadi raja, ialah kembalinya tabut kepadamu, yang di dalamnya terdapat ketenangan dari Tuhanmu dan sisa dari peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun ........”

(Al-Baqarah: 248)
Kemudian mereka mendapatkan kemenangan kerana berkah tabut itu. Tatkala mereka bertempur dengan penduduk negeri Ghazzah dan ‘Asqalan, mereka terlibat dalam pertentangan di antara mereka sendiri dan raja mereka mati dengan cara yang mengerikan, dan Bani Israil bagaikan kambing yang tidak ada penggembalanya, sampai Allah membangkitkan seorang nabi yang bernama Samuel, dan ahli kitab menyebutnya Shamuel, lalu mereka meminta kepadanya untuk menentukan seorang raja di antara mereka supaya dapat melawan musuh-musuh mereka.
Peristiwa ini dikisahkan Allah dalam Al-Quran adalah sebagai berikut:
“Apakah kamu tidak memperhatikan pemuka-pemuka Bani Israil sesudah Nabi Musa, iaitu ketika mereka berkata: “Angkatlah untuk kami seorang raja supaya kami berperang (di bawah kepemimpinannya) di jalan Allah. Nabi mereka menjawab: “Mungkin sekali jika kamu nanti diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang”.

Mereka menjawab: “Mengapa kami tidak mahu berperang di jalan Allah, padahal sesungguhnya kami telah diusir dari kampung halaman kami dan dari anak-anak kami?” Maka tatkala perang itu diwajibkan atas mereka, merekapun berpaling, kecuali beberapa orang saja di antara mereka. Dan Allah Maha Mengetahui orang-orang yang zalim”.

(Al-Baqarah: 246)
Allah telah menjadikan Thalut sebagai raja dengan melalui wahyu dari Allah. Allah menunjuk Thalut sebagai raja yang mengurusi urusan mereka kerana badannya yang kekar dan ilmunya yang memadai. Akan tetapi Bani Israil menolak penunjukan Thalut, dan mereka berkata kepada nabinya:
“Bagaimana Thalut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripada dia, sedang dia pun tidak diberi kekayaan yang cukup banyak?”

Nabi mereka menjawab, “Sesungguhnya Allah telah memilihnya menjadi rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.”

Thalut menjadi raja bagi Bani Israil, dan Allah mengukuhkannya dengan datangnya Tabut yang diperselisihkan ke tengah-tengah mereka. Thalut memilih pasukan yang kuat lagi perkasa untuk memerangi musuh-musuh mereka yang dipimpin oleh Jalut yang kejam dan perkasa.

Dawud Mengalahkan Jalut

Jalut mengisytiharkan supaya diadakan perang tanding satu lawan satu. Jalut yang gagah perkasa maju ke hadapan mencabar musuh-musuhnya. Cabaran Jalut disambut oleh Dawud, seorang yang nampaknya tidak setanding dengan Jalut yang bertubuh besar, kuat dan gagah. Sehinggakan Jalut mengejeknya dengan berkata, “Pergilah kamu, sebab aku tak ingin membunuh budak kecil seperti kamu.” Dawud menjawab, “Tetapi aku ingin membunuh kamu!”

Maka terjadilah pertempuran antara Jalut dengan Dawud. Walaupun bertubuh kecil, Dawud berjaya menjatuhkan Jalut dengan lemparan batu, sehingga tentera Jalut kucar-kacir dan bertempiaran lari.

Semenjak kejadian itu, nama Dawud menjadi terkenal di kalangan Bani Israil. Selepas kematian Thalut, urusan pemerintahan dikuasai oleh Dawud, yang menjadi raja ke atas Bani Israil.

Dawud Sebagai Hamba


Allah telah mengkhabarkan tentang ketaatan Dawud menerusi firman-Nya:
“Dan ingatlah hamba Kami Dawud yang mempunyai kekuatan; sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhan). Sesungguhnya Kami menundukkan gunung-ganang untuk bertasbih bersama dia (Dawud) diwaktu petang dan pagi, dan (Kami tundukkan pula) burung-burung dalam keadaan berkumpul. Masing-masingnya amat taat kepada Allah.”

(Shaad: 17-19)
Menerusi ayat tersebut Allah memerintahkan kepada Nabi Muhammad SAW agar mengingat hamba-Nya dan Nabi-Nya yang bernama Dawud. Hal ini dimaksudkan agar ia dapat mengambil pelajaran yang baik daripadanya, kerana Dawud mempunyai sifat Zal Aidi (iaitu mempunyai kekuatan) dalam beragama, yang tidak lemah kerana kekerasan dan tidak kalah kerana penganiayaan. Juga Allah menyifatkan "Awwab" (yang banyak kembalinya kepada Allah, dan bersandar diri kepada-Nya) dalam menghadapi kekejaman dan kesukaran, baik secara sembunyi-sembunyi mahupun secara terang-terangan.


Keistimewaan Nabi Dawud


Allah telah memberikan keistimewaan kepada Nabi Dawud, iaitu gunung-ganang ditundukkan supaya bertasbih bersamanya pada waktu siang, pagi atau malam dengan bahasa khas yang tidak dapat difahami oleh manusia. Tetapi difahami oleh Nabi Dawud dengan inderanya, pengetahuan dan kelebihan khusus yang telah diberikan Allah kepadanya. Demikian juga burung-burung disuruh oleh Allah ikut bertasbih bersama Dawud.


Kenikmatan-kenikmatan Yang Diterima Nabi Dawud


Allah memberikan bermacam-macam kenikmatan kepada Nabi Dawud, berupa kerajaan yang dimilikinya, kenabian, ilmu, dan kebijaksanaan dalam menyelesaikan perselisihan. Hal ini telah disebutkan dalam Al-Quran:
“Dan Kami kuatkan kerajaannya dan Kami berikan kepadanya hikmah dan kebijaksanaan dalam penyelesaian perselisihan.”

(Shad: 20)
Yang dimaksud dengan "Kami kuatkan kerajaannya" ialah Allah menguatkan kerajaannya dengan wibawa kemenangan, kekuatan tentera dan nikmat yang berlipat ganda. Dan yang dimaksud dengan "Kami berikan kepadanya hikmah" adalah, kenabian, ilmu yang sempurna dan ilmu perundang-undangan. Sedangkan yang dimaksud dengan "Kebijaksanaan dalam menyelesaikan perselisihan" ialah kebijaksanaan dalam menyelesaikan perselisihan antara orang-orang yang berselisih dengan memisahkan antara yang benar dan yang salah.

Nabi Dawud Sebagai Hakim

Nabi Dawud a.s. telah membahagi hari-harinya menjadi empat bahagian: sehari untuk beribadat, sehari untuk menjadi hakim, sehari lagi untuk memberikan pengajaran, dan sehari lagi untuk kepentingan peribadi.


Kelalaian Nabi Dawud Dalam Memutuskan Perkara


Di zaman Nabi Dawud, seorang lelaki tidak dibatasi dalam memiliki isteri. Seorang lelaki boleh mempunyai isteri dua, tiga, empat dan seterusnya. Tidak ada larangan dalam syariat kitab Zabur. Nabi Dawud sendiri mempunyai isteri sembilan puluh sembilan jumlahnya. Pada suatu ketika Dawud diliputi kelalaian. Ada salah seorang yang mempunyai isteri hanya seorang, tetapi oleh Nabi Dawud isteri orang tersebut mahu dimintanya. Suami dari isteri tadi berkata kepada Nabi Dawud: Bagaimakah ini, isteriku hanya satu, padahal isterimu sudah sembilan puluh sembilan? Nabi Dawud menjawab: Untuk menggenapkan sehingga menjadi seratus jumlahnya.

Dari peristiwa itu Allah lalu mengutus dua malaikat menghadap kepada Nabi Dawud. Malaikat tadi menyerupai manusia yang berpura-pura mengadukan suatu persoalan dan memohon supaya dihukum dengan adil. Lalu dua malaikat tadi mengadukan persoalannya: Hai Nabi Dawud, aku memohon dihukum dengan adil, bahawa aku mempunyai kambing hanya seekor, dan akan diminta oleh saudaraku ini yang dia sudah mempunyai kambing sembilan puluh sembilan ekor jumlahnya, dia ingin menggenapkannya menjadi seratus ekor kambing. Nabi Dawud menjawab: Sesungguhnya orang yang mempunyai kambing sembilan puluh sembilan ekor tadi termasuk menganiaya kerana kambing yang hanya seekor mahu diminta.

Dengan datangnya dua malaikat yang berpura-pura menjadi manusia itu, maka tersentuhlah jiwa Nabi Dawud. Dan seketika itu juga Nabi Dawud sedar dan ingat akan kesalahannya, iaitu meminta isteri orang yang hanya seorang itu, demi untuk menggenapkannya menjadi seratus, kemudian Allah berfirman kepada Dawud:
“Hai Dawud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu Khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan jangan kamu mengikut hawa nafsu, kerana ia menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang dahsyat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.”

(Shad: 26)
Pernah terjadi suatu malam, kambing-kambing tanpa penggembala telah memasuki ladang dan merosak tanaman milik orang lain. Kemudian para pemilik ladang itu datang kepada Dawud mengadukan perkaranya. Mereka berkata: “Wahai Nabi Allah, sesungguhnya kami telah mengerjakan tanah kami, lalu kami tanami dan kami pelihara. Namun ketika datang waktu menuai hasilnya, pada suatu malam telah datang kambing-kambing suatu kaum merosakkan tanaman-tanaman kami, dan memakannya hingga tidak ada sisa sedikit pun".
Dawud berkata kepada para pemilik ladang: “Menurutmu berapa harga tanaman itu?” Lalu mereka menyebutkan harganya. Kerananya ketika Dawud melihat kedua-dua harga itu berdekatan, ia berkata kepada para pemilik kambing: "Bayarkanlah kambing-kambing kamu itu kepada para pemilik ladang, sebagai ganti tanaman-tanaman mereka yang dirosak."

Tetapi puteranya, Sulaiman yang ketika itu ikut hadir menyaksikan keputusan itu, segera membantah ayahnya, sambil berkata: “Saya mempunyai pendapat dalam perkara ini supaya para pemilik kambing menyerahkan kambing-kambing mereka kepada pemilik ladang, sehingga mereka dapat memanfaatkan bulu-bulu, susu-susu dan anak-anak kambing itu. Sedangkan para pemilik kambing mengambil ladang-ladang itu lalu mengerjakannya, menanami, menyirami dan memeliharanya hingga berbuah. Sehingga apabila telah datang masa panen, para pemilik kambing itu menyerahkan kembali ladang-ladang itu kepada para pemiliknya dan mereka menerima kambing-kambing mereka kembali.”

Kaumnya yang ikut menyaksikan jalannya persidangan itu sangat bersetuju atas keputusan Sulaiman (Anak Nabi Dawud). Dan Dawud berkata: Aku menyetujui keputusan ini, wahai anakku. Lalu ia memberikan keputusan sesuai dengan fatwa Sulaiman.

Hal ini disebutkan di dalam Al-Quran:
“Dan (ingatlah kisah) Dawud dan Sulaiman, diwaktu kedua-duanya memberikan keputusan mengenai tanaman, kerana tanaman itu dirosakkan oleh kambing-kambing kepunyaan kaumnya. Dan adalah Kami menyaksikan keputusan yang diberikan oleh mereka itu, maka Kami telah memberikan ilmu kepada Sulaiman tentang hukum (yang lebih tepat) dan kepada masing-masing mereka telah Kami berikan hikmah dan ilmu.”

(Al-Anbiya': 78-79)


Mukjizat Nabi Dawud


Allah telah menunjukkan dalam Al-Quran tentang kelebihan yang diberikan kepada Dawud atau mukjizat, iaitu hal-hal yang luar biasa yang tidak dapat diperbuat oleh manusia biasa. Iaitu besi boleh dilunakkan seperti lilin dan dapat dirobah sesuka hatinya tanpa memakai api atau alat apa pun. Dan dari besi itu pula ia membuat baju besi yang dikukuhkan dengan tenunan dari bulatan-bulatan rantai yang jalin menjalin. Jenis baju ini tidak akan mengganggu pemakainya di dalam bergerak, tidak seperti baju-baju besi yang kaku dan keras.

Kitab Nabi Dawud

Al-Quran telah menyebutkan bahawa Allah Ta'ala telah memberikan sebuah Kitab kepada Nabi Dawud berupa Kitab Zabur:
“....Dan Kami berikan (kitab) Zabur itu kepada Dawud."

Kisah Nabi Sulaiman & Jin

Jin Sebahagian Tentera Nabi Sulaiman

...Sulaiman bin Daud adalah satu-satunya Nabi yang memperoleh keistimewaan dari Allah SWT sehingga boleh memahami bahasa binatang. Dia boleh bicara dengan burung Hud Hud dan juga boleh memahami bahasa semut. Dalam Al-Quran surah An Naml, ayat 18-26 adalah contoh dari sebahagian ayat yang menceritakan akan keistimewaan Nabi yang sangat kaya raya ini.
Firman Allah,

“Dan Sulaiman telah mewarisi Daud dan dia berkata, “hai manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurnia yang nyata.”

Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya dari jin, manusia dan burung, lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan) sehingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut, “hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.”

Maka Nabi Sulaiman tersenyum dengan tertawa kerana mendengar perkataan semut itu. Katanya,


“Ya Rabbi, limpahkan kepadaku kurnia untuk mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku; kurniakan padaku hingga boleh mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkan aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh.”
(An-Naml: 16-19)

Menurut sejumlah riwayat, pernah suatu hari Nabi Sulaiman as bertanya kepada seekor semut, “Wahai semut! Berapa banyak engkau perolehi rezeki dari Allah dalam waktu satu tahun?”

“Sebesar biji gandum,” jawabnya.

Kemudian, Nabi Sulaiman memberi semut sebiji gandum lalu memeliharanya dalam sebuah botol. Setelah genap satu tahun, Sulaiman membuka botol untuk melihat nasib si semut. Namun, didapatinya si semut hanya memakan sebahagian biji gandum itu.

“Mengapa engkau hanya memakan sebahagian dan tidak menghabiskannya?” tanya Nabi Sulaiman.

“Dahulu aku bertawakal dan pasrah diri kepada Allah,” jawab si semut. “Dengan tawakal kepada-Nya aku yakin bahawa Dia tidak akan melupakanku. Ketika aku berpasrah kepadamu, aku tidak yakin apakah engkau akan ingat kepadaku pada tahun berikutnya sehingga boleh memperoleh sebiji gandum lagi atau engkau akan lupa kepadaku. Kerana itu, aku harus tinggalkan sebahagian sebagai bekal tahun berikutnya.”

Nabi Sulaiman, walaupun ia sangat kaya raya, namun kekayaannya adalah nisbi dan terbatas. Yang Maha Kaya secara mutlak hanyalah Allah SWT semata-mata. Nabi Sulaiman, meskipun sangat baik dan kasih, namun yang Maha Baik dan Maha Kasih dari seluruh pengasih hanyalah Allah SWT semata. Dalam diri Nabi Sulaiman tersimpan sifat terbatas dan kenisbian yang tidak dapat dipisahkan; sementara dalam Zat Allah sifat mutlak dan absolut.

Bagaimanapun kayanya Nabi Sulaiman, dia tetap manusia biasa yang tidak boleh sepenuhnya dijadikan tempat bergantung. Bagaimana kasihnya Nabi Sulaiman, dia adalah manusia biasa yang menyimpan kedaifan-kedaifannya tersendiri. Hal itu diketahui oleh semut Nabi Sulaiman. Kerana itu, dia masih tidak percaya kepada janji Nabi Sulaiman ke atasnya. Bukan kerana khuatir Nabi Sulaiman akan ingkar janji, namun khuatir Nabi Sulaiman tidak mampu memenuhinya lantaran sifat manusiawinya. Tawakal atau berpasrah diri bulat-bulat hanyalah kepada Allah SWT semata, bukan kepada manusia.

Golongan Jin Iri Hati Dengan Ratu Balqis

Ratu Balqis adalah seorang wanita yang sangat cantik dan mempunyai akal yang cerdas, oleh sebab itulah golongan jin merasa iri hati dengannya. Mereka mengatakan bahawa Ratu Balqis itu mempunyai dua aib, pertama tubuhnya pendek dan kedua betisnya seperti betis unta.
Maka Nabi Sulaiman memerintahkan supaya para Jin mengubah sedikit singgahsana Ratu Balqis, lalu beliau menyuruh pula membangun sebuah mahligai yang dibuat dari kaca. Bahagian bawah mahligai tersebut dan kelilingnya mengalir sungai-sungai dengan berisikan ikan-ikan, di atas air itu dibuat sebuah jambatan daripada kaca.

Ketika Ratu Balqis dan rombongan tiba, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: “Apakah ini singgahsanamu? Ratu Balqis menjawab: Mungkin! Ia tidak mengatakan ya, kerana dilihatnya ada sedikit perubahan. Tetapi tidak mengatakan bukan, disebabkan ada sebahagian yang serupa dengan singgah-sananya. Dari jawapan Ratu Balqis itu, tahulah Nabi Sulaiman as bahawa ia adalah seorang wanita yang berakal sempurna serta bijaksana.

Kemudian Nabi Sulaiman as menyuruh tamunya itu masuk ke dalam istana. Ketika Ratu Balqis melihat ke dalam istana, ia melihat seakan-akan ada aliran air, sehingga ia mengangkat kainnya, sehingga betisnya tersingkap. Nabi Sulaiman as melihat betisnya itu, maka tidak ada satu aibpun seperti yang disampaikan oleh golongan jin.

Nabi Sulaiman berkata kepada Ratu Balqis: “Ini adalah sebuah mahligai yang licin, ia dibentuk daripada kaca.” ketika Ratu Balqis menyaksikan betapa hebatnya Nabi Sulaiman, ia berkata dalam hatinya: “Walaupun kerajaanku luas, singgahsanaku indah dan megah, bala tenteraku ramai, namun jika dibandingkan dengan semua yang aku saksikan ini, seakan-akan milikku tidak bererti.

Kemudian ia berkata seperti yang diungkapkan di dalam Quran, firman Allah SWT surah An Naml ayat 44 bermaksud: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah Tuhan semesta alam.” Setelah itu Ratu Balqis pun berkahwin dengan Nabi Sulaiman as. Peristiwa pernikahan Nabi Sulaiman dengan Ratu Balqis ini terjadi pada hari Jumaat.

Begitu besarnya kerajaan Nabi Sulaiman as. yang mana angin sebagai kenderaannya, manusia dan jin sebagai tenteranya, burung sebagai pembantu dan teman-teman bercakapnya, binatang-binatang buas sebagai buruhnya dan para malaikat sebagai utusannya.

Nabi Sulaiman as mempunyai satu padang, sebahagian tanahnya terbuat daripada emas dan sebahagian lagi daripada perak. Jika tenteranya berbaris di padang itu, maka panjang barisan itu tidak kurang dari seratus parsakh. Sedangkan luas tempat tinggalnya adalah sebulan perjalanan.

Kemudian golongan jin membuat untuknya sebuah permaidani daripada emas dan perak. Pada permaidani tersebut terdapat dua belas ribu mihrab, pada setiap mihrab terdapat kursi daripada emas dan perak, kemudian duduk di atas tiap-tiap kursi tersebut seorang yang alim dari ulamak Bani Israil.

Pada setiap hari dimasak kira-kira seribu unta, empat ribu lembu dan empat puluh ribu kambing. Nabi Sulaiman juga mempunyai piring-piring yang besar bagaikan kolam dan periuk yang tetap berada di atas tungku.

Firman Allah SWT:

“Para jin membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang dikehendaknya dari bangunan yang tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang besarnya seperti kolam dan periuk yang tetap berada di atas tungku.” (Saba’: 13) Begitu besarnya nikmat dan kelebihan Nabi Sulaiman as. Namun begitu kelebihan dan kenikmatan umat Nabi Muhammad SAW yang beriman, di dalam Syurga nanti disediakan tempat-tempat tinggal dan darjat, kebun-kebun, sungai-sungai dan buah-buahan. Di dalamnya diperolehi segala sesuatu yang menyenangkan jiwa dan mata. Di dalamnya juga terdapat sesuatu yang tidak pernah terlintas oleh fikiran manusia.
Dikisahkan bahawa serendah-rendah darjat tempat umat Nabi Muhammad SAW di dalam Syurga itu ialah seratus kali luas kerajaan Sulaiman as. Malah lebih baik, kerana Syurga adalah tempat yang abadi. Di dalamnya tidak ada matahari, kesejukan, kesakitan, kesusahan serta lain-lain penderitaan. Di Syurga adalah tempat yang abadi, kesenangan tanpa batas, pemberian tanpa dihitung, penerimaan tanpa ditolak.

Ada Syurga yang dinamakan dengan Darussalam, di dalamnya mempunyai keselamatan tanpa adanya kebinasaan, kenikmatan tanpa malapetaka, kecintaan tanpa permusuhan, kemuliaan tanpa kehinaan serta bermacam-macam lagi kenikmatan yang sukar untuk diungkapkan.

Kemudian Syurga Jannatunna’im. Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka Syurga kenikmatan. Di dalamnya para hamba-hamba-Nya bertempat tinggal, para nabi menjadi sahabatnya, tinggal kekal dalamnya dengan kurnia yang berlimpah ruah. Tidak ada kesusahan di dalamnya, terdapat bidadari cantik dan jelita, mahligainya tinggi dan tempat yang luas.

Syurga Firdaus, disediakan bagi orang-orang yang tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu, menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat, tidak membuat kemungkaran serta menjalankan segala yang diperintahkan Allah SWT. Allah SWT menjadikan penghuni Syurga ini sebagai kekasihNya.

Di dalam Syurga Firdaus terdapat empat sungai, iaitu sungai dari air tawar, sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai dari air arak yang lazat rasanya dan sungai air madu. Di dalamnya juga diperolehi berbagai macam buah-buahan. Ada lagi empat mata air iaitu: Salsabil, Zanjabil, Rohiiq dan Tasniim. Ada lagi dua mata air yang mengalir dan dua mata air yang memancar, iaitu Al-kaafuur dan Al-kautsar. Di dalamnya juga diperolehi segala sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati.

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu di dalam taman-taman dan sungai-sungai, di tempat yang disenangi di sisi Tuhan Yang Berkuasa.”
(Al-Qamar: 54-55)
 
UA-55956158-2